pengasas tabligh - kitab taklim

Pengasas jemaah tabligh

Assalamualaikum tuan puan yang mulia di sisi Allah swt,

Admin ingin menyatakan bahawa bukanlah ia bermaksud mereka ini pengasas tabligh atau pengasas dakwah.

Gerakan tabligh ini bukanlah satu ajaran yang baru tetapi ia adalah cara dan usaha para2 sahabat yang dihidupkan semula.

Usaha ini dibangunkan pada zaman akhir kejatuhan empayar islam turki, kerajaan Khulafah Othmaniyah.

Mereka(pengasas tabligh) inilah para ulama awalin yang menghidupkan semula usaha yang telah lama ditinggalkan.

Dan juga, artikel di bawah bukanlah dikarang oleh admin, admin hanya menyunting nya sahaja.

semoga Allah swt memberi kita taufik dan hidayat untuk kita beramal dan sampaikan.. insya allah.


Latar Belakang  Maulana Muhammad Ilyas Rahmatullah alaih | Pengasas Tabligh

Lahir pada tahun 1303 H bersamaan dengan 1886 Masehi di desa Kandahlah di kawasan Muzhafar Nagar, Uttar Pradesh, India. Ayahnya bernama Maulana Ismail manakala ibunya bernama Shafiyah Al-Hafidzah. Keluarga beliau terkenal sebagai gudang ilmu agama dan memiliki sifat wara’. Adik-beradiknya yang lain ialah Maulana Muhammad dan Maulana Muhammad Yahya. Maulana Muhammad Ilyas adalah anak ketiga dari tiga bersaudara ini. Maulana Muhammad Ilyas pada peringkat awak belajar agama pada abangnya Maulana Muhammad Yahya. Abangnya merupakan seorang guru agama madrasah di kota kelahirannya.

Ayahandanya, Maulana Muhammad Ismail adalah seorang ulama besar yang suka menjalani hidup dengan ber’uzhlah, berkhalwat dan beribadah, membaca Al-Qur’an dan melayani para musafir yang datang dan pergi serta mengajarkan Al-Qur’an dan ilmu-ilmu agama. Maulana Muhammad Ilyas selalu mengamalkan do’a ma’tsur dari hadith untuk waktu dan keadaan yang berlainan. Beliau sangat menyukai kedamaian dan keselamatan serta bergaul dengan manusia dengan penuh kasih sayang dan kelembutan. Dan beliau sering menjadi tumpuan dan diberi kepercayaan oleh para ulama untuk membimbing dan menyatukan kaum muslimin jika berlaku perselisihan di antara mereka.

Ibunda Maulana Muhammad Ilyas iaitu Shafiyah Al-Hafidzah adalah seoarang Hafidzah Al-Qur’an. Diriwayatkan bahawa beliau selalu mengkhatamkan Al-Qur’an bahkan sambil bekerjapun mulutnya senantiasa bergerak membaca ayat-ayat Al-Qur’an yang telahpun ia hafal. Maulana Muhammad Ilyas turut menghafal Al-Qur’an kerana telah menjadi kebiasaan bagi ahli keluarga Maulana Muhammad Ismail menghafadz Al-Qur’an. Sehingga diriwayatkan bahawa dalam solat berjama’ah, separuh saf bahagian hadapan, semuanya terdiri dari para hafidz belaka.

Kerisauan Umat

Sejak kecil telah tampak ruh dan semangat agama dalam diri Maulana Muhammad Ilyas. Beliau sentiasa menyatakan kerisauan terhadap umat, agama dan dakwah. ‘Allamah Asy-Syaikh Mahmud Hasan yang dikenal sebagai Syaikhul Hind (guru besar ilmu hadith di madrasah Darul ‘Ulum Deoband) mengatakan, “Sesungguhnya apabila aku melihat Maulana Ilyas, aku teringat akan kisah perjuangan para sahabat”.

Pada suatu ketika, abangnya Maulana Muhammad Yahya pergi belajar kepada seorang ‘alim besar,Syeikh Rasyid Ahmad Al-Gangohi, di desa Gangoh, kawasan Saranpur, Utar Pradesh, India. Dengan bimbingan Syeikh Rasyid, Maulana Muhammad Yahya belajar membersihkan diri dan menyerap ilmu yang didalaminya. Hal ini mula membuatkan Maulana Muhammad Ilyas tertarik untuk belajar dengan Syeikh Rasyid. Akhirnya Maulana Ilyas memutuskan untuk menyertai abangnya belajar agama di Gangoh.

Akan tetapi selama tinggal dan belajar di sana, Maulana Ilyas selalu menderita sakit. Sakit ini ditanggungnya selama bertahun-tahun lamanya. Tabib Ustadz Mahmud Ahmad yakni putera Syaikh Gangohi sendiri telah merawat beliau.Sakit yang dideritanya menyebabkan kegiatan belajarnya menurun, akan tetapi beliau tidak berputus asa. Ramai yang menyarankan agar beliau berhenti belajar untuk sementara waktu tetapi beliau menjawab, “apa gunanya aku hidup jika dalam kebodohan”. Dengan izin Allah SWT, Maulana berjaya menyelesaikan pelajaran Hadith Syarif, Jami’at Tirmidzi dan Shahih Bukhari dan dalam jangka masa empat bulan beliau berhasil menyelesaikan Kutubus Sittah.

Tubuhnya yang kurus dan sering sakit-sakit tidak langsung melemahkan semangat beliau sebaliknya semakin membuatkan beliau bersemangat dalam menuntut ilmu bahkan kerisauannya juga bertambah besar terhadap keadaan umat yang jauh dari Syari’at Islam. Ketika Syeikh Gangohi wafat pada tahun 1323 H, beliau baru berumur dua puluh lima tahun. Kewafatan Syeikh Gangohi benar-benar amat dirasainya. Peristiwa ini menjadikan dirinya semakin taat beribadah pada Allah. Beliau menjadi pendiam dan hanya mengerjakan ibadah, dzikir, dan banyak mengerjakan amal-amal infradi.

Berguru dengan Syeikh Khalid Ahmad As-Sharanpuri 

Maulana Muhammad Ilyas kemudiannya berkenalan dengan Syeikh Khalid Ahmad As-Sharanpuri penulis kitab Bajhul Majhud Fi Hilli Alfazhi Abi Dawud dan akhirnya beliau berguru kepadanya. Semakin bertambah ilmu yang dimiliki membuatkan beliau semakin tawaddu’. Ketawaddu’an beliau di usia mudanya menyebabkan beliau dihormati di kalangan para Ulama dan Masyaikh.

Maulana Muhammad Yahya, abang kandung beliau sendiri tidak pernah memperlakukan seperti anak kecil, bahkan sangat menghormati beliau. Pada suatu ketika di Kandahlah, diadakan satu pertemuan yang dihadiri oleh ulama-ulama besar, di antaranya terdapat nama Syeikh Abdurrahman Ar-Raipuri, Syeikh Khalil Ahmad As-Sharanpuri dan Syeikh Asyraf Ali At-Tanwi. Ketika masuk waktu solat Asar, mereka meminta Maulana Ilyas untuk mengimami solat tersebut. Ustadz Badrul Hasan salah seorang di antara keluarga besar tersebut berkata, “alangkah panjang dan beratnya kereta api ini tetap alangkah ringan lokomotifnya”, kemudian salah seorang diantara hadirin menjawab,” tetapi lokomotif yang kuat itu justeru kerana ringannya”.

Kewafatan saudara kandung

Setelah abangnya Maulana Muhammad Yahya wafat pada 9 Ogos 1925, Maulana Muhammad Ilyas berasa kehilangan yang amat sangat. Dua tahun setelah itu, menyusul pula abangnya yang paling tua, Maulana Muhammad. Beliau meninggal di Masjid Nawab Wali, Qassab Pura dan dimakamkan di Nizamuddin. Kematian Maulana Muhammad ini mendapat perhatian dari masyarakat sekitarnya. Beribu orang menziarahi jenazahnya. Setelah dimakam, orang ramai meminta Maulana Ilyas untuk menggantikan abangnya di Nizamuddin padahal pada waktu itu beliau menjadi salah seorang pengajar di Madrasah Mazhahirul ‘Ulum. Masyarakat memujuk beliau bahkan menjanjikan dana bulanan kepada madrasah yang bakal dibangunkannya kembali.

Pada akhirnya, setelah mendapat izin dari Maulana Khalil Ahmad dengan pertimbangan jika tinggalnya di Nizamuddin akan membawa manfaat maka Maulana Ilyas pun diberi izin untuk berhenti mengajar. Beliau akhirnya pergi ke Nizamuddin, ke madrasah warisan ayahnya yang kosong akibat lama tidak dihuni.

Mendirikan Madrasah di Mewat, India

Dengan semangat mengajar yang tinggi beliau akhirnya membuka kembali madrasah tersebut. Karena semangat yang tinggi untuk memajukan agama, beliaupun mendirikan sebuah maktab di Mewat. Namun disebabkan latar belakang penduduk disitu yang rata-ratanya petani, maka masyarakatnya lebih menyukai anak-anak mereka pergi ke kebun atau ke sawah daripada ke Madrasah atau Maktab untuk belajar agama, membaca atau menulis.

Bagi mengatasi masalah itu, Maulana Ilyas meminta orang Mewat menghantarkan anak-anak mereka untuk datang belajar dengan pembiayaan ditanggung oleh Maulana sendiri. Melihat keadaan Mewat yang sangat jahil itu semakin menambah kerisauan beliau akan keadaan umat Islam terutama masyarakat Mewat itu sendiri. Kunjungan-kunjungan diadakan bahkan madrasah-madrasah juga banyak didirikan tetapi ia tetap belum membuka kejahilan masyarakat Mewat.

Membentuk jemaah dakwah

Dengan izin Allah swt, timbullah keinginannya untuk mengirimkan jemaah dakwah ke Mewat. Pada tahun 1351 H/1931 M, Maulana Muhammad Ilyas menunaikan haji yang ketiga ke tanah suci Makkah. Pada masa yang sama, beliau menemui tokoh-tokoh India yang ada di tanah Arab untuk berbincang tentang usaha dakwah dan adalah menjadi harapan beliau agar usaha ini dapat terus dijalankan di tanah Arab. Keinginannya yang besar menyebabkan beliau pergi menemui Sultan Ibnu Sa’ud yang menjadi raja tanah Arab bagi mengenalkan usaha mulia yang dibawanya.

Selama beliau berada di tanah Makkah, jemaah bergerak setiap hari bermula dari pagi sampai ke petang. Usaha dakwah dilakukan untuk mengajak orang taat kepada perintah Allah dan menegakkan kerja-kerja dakwah. Setelah pulang dari haji tersebut, Maulana mengadakan dua kunjungan ke Mewat, masing-masing disertai Jamaah dengan jumlah yang cukup besar, paling sedikit seratus orang.

Kunjungan pertama dilakukan selama satu bulan dan kunjungan kedua dilakukan hanya beberapa hari saja. Dalam kunjungan tersebut beliau membentuk jama’ah-jama’ah yang dikirim ke kampung-kampung untuk berjaulah (berkeliling dari rumah ke rumah) bagi menyampaikan pentingnya agama. Beliau amat yakin bahawa kebodohan, kelalaian serta hilangnya semangat agama dan jiwa keislaman itulah yang menjadi sumber kerosakan masyarakat selama ini.

Adapun satu-satu jalan untuk memperbaiki kerosakan itu adalah dengan mengajak orang-orang Mewat agar keluar dari kampung halamannya untuk memperbaiki diri dan belajar agama, serta menerap amalan-amalan yang baik sehingga tumbuh kesedarannya untuk mencintai agama lebih daripada dunia dan mementingkan amal dari mal (harta).

Bermulanya usaha dakwah di daerah Mewat, India.

Dari Mewat inilah secara beransur-ansur usaha tabligh meluas hinggalah ke Delhi, Punjab, Khurja, Aligarh, Agra, Bulandshar, Meerut, Panipat, Sonepat, Karnal, Rohtak dan daerah lainnya. Perkembangan jama’ah ini semakin hari semakin berkembang. Gerakan jama’ah tidak hanya tersebar di India tetapi sedikit demi sedikit mula menyebar ke negara lain. Hanya kekuasaan Allah yang dapat memakmurkan dan membesarkan usaha ini. Kerisauan akan keadaan umat semakin bertambah, jama’ah-jama’ah banyak dibentuk dan dikirim ke pelosok jazirah. Sehingga dengan izin Allah usaha ini pun semakin meluas.

Maulana Muhammad Ilyas dengan gigih terus memberi dorongan dan arahan ilmu dan pemikirannya untuk menjalankan usaha dakwah ini agar sampai ke seluruh alam. Dalam keadaan dirinya yang semakin dimamah usia, Maulana terus bersemangat hingga tubuhnya yang kurus tidak mampu lagi untuk digerakkan ketika beliau menderita sakit.

Pada hari terakhir dalam sejarah hidupnya Maulana Ilyas telah mengirim utusan kepada Syaikhul Hadith Maulana Zakariya, Maulana Abdul Qodir Raipuri, dan Maulana Zafar Ahmad, bahawa beliau akan mengamanahkan kepercayaan sebagai amir jama’ah kepada sahabat-sahabatnya seperti 1-Hafidz Maqbul Hasan, 2-Qozi Dawud, 3-Mulvi Ihtisamul Hasan, 4-Mulvi Muhammad Yusuf, 5-Mulvi Inamul Hasan dan 6-Mulvi Sayyid Raza Hasan.

Pada saat itu, terpilihlah Mulvi Muhammad Yusuf sebagai pengganti Maulana Muhammad Ilyas dalam memimpin usaha dakwah dan tabligh. Sekitar bulan Julai 1944, beliau mengalami sakit yang berat. Tubuhnya hanya mampu berbaring di tempat tidur dengan ditemani para pembantu dan muridnya. Keadaan tubuhnya yang sangat lemah itu merupakan bukti nyata betapa beliau bersungguh-sungguh menghabiskan waktu berdakwah Khuruj Fi Sabilillah mengembara dari satu tempat ke tempat lain bersama dengan Jama’ah untuk mendakwahkan kebesaran Allah dan kalimat Laa Ilaaha Illallah Muhammad Rasulullah.

Perjalanan terakhir

Pada tanggal 13 Julai 1944, Maulana telah bersiap-siap untuk menempuh perjalanannya yang terakhir. Beliau bertanya kepada salah seorang yang hadir, “apakah besok hari Khamis?” Semua yang berada di sekelilingnya menjawab,”benar”. Kemudian beliau berkata lagi, “periksalah pakaianku, apakah ada najisnya atau tidak”, Semua yang berada disekelilingnya berkata bahwa pakaian yang dikenakannya masih dalam keadaan suci. Kemudian beliau turun dari perbaringannya, berwuduk dan mengerjakan solat Isya’ dengan berjama’ah. Beliau berpesan kepada orang-orang agar memperbanyak dzikir dan do’a pada malam itu. Beliau berkata,”yang ada di sekelilingku ini pada hari ini hendaklah menjadi orang-orang yang dapat membezakan antara perbuatan syaitan dan perbuatan malaikat Allah”.

Pada tengah malamnya, beliau pengsan. Doktor segera dipanggil dan ubat pun segera diberikan. Kata-kata Allahu Akbar terus keluar dari mulutnya ketika malam sehinggalah menjelang pagi. Beliau mencari putera-puteranyanya Maulana Muhammad Yusuf dan Maulana Ikromul Hasan. Ketika dipertemukan dengan putera-puteranya beliau berkata,” Kemarilah kalian, aku ingin memeluk, tidak ada lagi waktu setelah ini, sesungguhnya aku akan pergi”. Akhirnya Maulana menghembuskan nafas terakhirnya, beliau pulang ke rahmatullah sebelum adzan Shubuh.

Maulana Muhammad Yusuf Al-Kandahlawi | Pengasas Tabligh

Lahir pada 25 Jumada Awwal, 1335 H, bersamaan dengan 20 Mac 1917 di Kandahlah, India. Bapanya ialah Maulana Muhammad Ilyas Al-Kandahlawi yang memainkan peranan penting dalam menghapus semua penyimpangan dan kejahilan masyarakat dan kembali kepada agama Islam yang murni. Salahsilah keturunan dari jalur Ayahandanya:

Maulana Muhammad Yusuf bin Maulana Muhammad Ilyas bin Maulana Muhammad Ismail bin Syaikh Ghulam Hussein bin Hakim Karim Baksh bin Hakim Ghulam Mohiuddin bin Maulana Muhammad Sajid bin Maulana Muhammad Faiz bin Maulana Hakim Muhammad Syarif bin Maulana Hakim Muhammad Asyraf bin Syaikh Jamal Muhammad Syah bin Syaikh Nur Muhammad bin Syaikh Bahauddin Syah bin Maulana Syaikh Muhammad bin Syaikh Muhammad Fadhil bin Syaikh Qutb Syah. Silsilah keturunan dari jalur bondanya:

Ibunya binti Maulvi Rauful Hasan bin Maulana Zia-ul-Hasan bin Maulana Nurul Hasan bin Maulana Abul Hasan bin Mufti Ilahi Baksh bin Maulana Syaikhul Islam bin Hakim Qutbuddin bin Hakim Abdul Qadir bin Maulana Hakim Muhammad Syarif bin Maulana Hakim Muhammad Asyraf bin Syaikh Jamal Muhammad Syah bin Syaikh Nur Muhammad bin Syaikh Bahauddin Syah bin Maulana Syaikh Muhammad bin Syaikh Muhammad Fadhil bin Syaikh Qutb Syah. Jalur silsilah keturunan ayahanda dan bondanya bertemu pada moyangnya Hakim Muhammad Syarif. Lalu jalur silsilah keluarga keturunan mereka sampai ke Amirul Mukminin Hazrat Abu Bakar Siddiq RA. Kedua-dua keluarga besar ini tinggal di desa Kandalah dan Jinhjana. Mereka terkenal dengan kewarakan, keilmuan dan kesalehan.

Maulana Zakaria Al-Kandahlawi | Pengasas Tabligh

Dilahirkan pada 10 Ramadhan 1315H, bertepatan dengan 12 Februari 1898, di sebuah desa bernama Kandalah di wilayah Uttar Pradesh, India. Silsilah keluarga beliau bersambung sampai kepada sahabat besar Nabi, Abu Bakar As-Siddiq r.a. Di peringkat awal, Maulana Zakaria menadah kitab kepada Hakim Abdur Rahman, kemudian menghafal Al-Quran di bawah ayahandanya Maulana Muhammad Yahya, ulama besar yang sangat terkenal di India. Setelah itu, beliau belajar bahasa Parsi dan bahasa Arab kepada bapa saudaranya, Maulana Muhammad Ilyas, pelopor gerakan Tabligh.

Pada usia 12 tahun, Maulana Zakaria dibawa oleh ayahandanya ke Madrasah Mazahirul Ulum. Di bawah bimbingan ayahandanya, beliau mempelajari bahasa Arab tingkatan lanjutan, teks-teks klasik, nahwu, saraf dan ilmu mantiq.

Kajian ilmu hadith

Ketika usianya memasuki 17 tahun, minat utamanya mula terfokus pada bidang kajian ilmu hadith. Beliau mempelajari 5 dari 6 kutubussittah. Beliau pernah belajar kitab Sahih Bukhari dan Sunan at-Tirmizi kepada Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri. Sepanjang mempelajari kitab-kitab tersebut, Maulana Zakaria sangat menjaga wudhuknya. Maulana Zakaria mula mengajar pada tahun 1335H. D peringkat awal, beliau mengajar mata pelajaran nahwu, saraf dan sastera. Pada tahun 1341H, beliau mengajar tiga bahagian dari kitab Sahih Bukhari dan pada tahun 1344H, dan beliau mengajar satu kitab tambahan iaitu kitab Mishkat al-Masabih. Pada tahun 1345H, beliau berkesempatan mengunjungi tanah suci. Di Madinah beliau tinggal selama 1 tahun dan mengajar kitab Sunan Abi Daud di Madarasah Ulum Shar’iyyah. Di Kota Nabi ini, Maulana mula menulis kitab Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Imam Malik yang merupakan syarah atas kitab Al-Muwatta’ Imam Malik. Pada ketika itu, beliau berumur 29 tahun.

Syaikhul Hadith

Sepulangnya ke India, beliau mengajar kitab Sunan Abi Daud, Sunan al-Nasai, Al-Muwatta dan separuh bahagian dari Sahih Bukhari dimana separuhnya lagi diajar oleh mudir madrasah. Setelah mudir wafat, tugas mengajar Sahih Bukhari ini diberikan seluruhnya kepada Maulana Zakaria. Beliau mengajar sehingga tahun 1388H dan selepas itu beliau tidak mampu lagi mengajar kerana sakit mata yang dideritainya. Kecintaan Maulana Zakaria pada agama, terutama pada kajian ilmu hadith, sangat mendalam. Jangka masa waktu yang dihabiskan beliau untuk belajar dan mengajar hadith adalah selama lebih kurang 60 tahun. Dalam tempoh tersebut, beliau telah menulis lebih dari 80 kitab yang sangat tinggi nilainya dan diakui oleh para ulama di seluruh dunia.

Beberapa kitab yang beliau tulis dalam bidang kajian hadith antara lain ; Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Imam Malik (syarah atas kitab Muwatta Imam Malik, terdiri dari 6 jilid), Lami’ al-Dirari ‘ala Jami’ al-Bukhari (syarah atas kitab Sahih Bukhari), Syarah Muslim (syarah Sahih Imam Muslim), Juz’ Hajjat al-Wida’ wa ‘Umrat al-Nabi (Isi Kandungan tentang haji dan umrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.dan turut memuatkan masalah hukum haji, lokasi, dan tempat-tempat yang pernah dilalui atau disinggahi oleh Rasul Allah s.a.w.), Khasa’il Nabawi Sharh Shama’il al-Tirmidhi (syarah dan komentar terhadap kitab al-Shama’il al-Muhammadiyya-nya Imam Tirmidzi yang berisi tentang hadith-hadith yang berkenaan dengan peri kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.) dan beberapa kitab lainnya. Karya beliau yang paling terkenal ialah Fadilat Amal.


Sumber: 

i) BookThe Teachings of Islam (Faza’il-e-amal) Hardcover – January 1, 1993. by Maulana Muhammad Zakariyya (Author)

ii) Fadhail Amal

 

Disunting oleh:

Asrulm


Pengasas Tabligh – gerakan dakwah dan tabligh sedunia